Di dalam bab ini, kita akan bercakap dengan panjang lebar tentang planet-planet          dan objek-objek lain di alam semesta ini. Matahari, bulan dan Bumi adalah          di antara yang paling kita kenali. Tetapi, sebenarnya terdapat objek-objek          angkasa lain di cakerawala ini yang kamu tidak dapat lihat.
       Fikirkan tentang filem atau cerita kartun tentang angkasa lepas! Angkasa          lepas dipenuhi dengan bintang-bintang, planet-planet dan meteor-meteor          yang dapat dilihat di dalam filem-filem ini. Setiap satunya dikenali sebagai          objek angkasa. Berbilion objek-objek angkasa ini berkumpul untuk membentuk          himpunan gergasi sistem-sistem bintang yang dikenali sebagai galaksi.          Semua objek-objek angkasa ini sangat besar. Contohnya, planet kita Bumi          adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan objek-objek angkasa lain.          Tetapi, ia cukup besar untuk menampung manusia, haiwan, gunung-ganang,          lautan dan apa sahaja yang kamu dapat fikirkan.
       Sekarang mari kita masuki himpunan gergasi sistem bintang ini, galaksi-galaksi          yang menghimpunkan berbilion-bilion bintang.
                     Galaksi-galaksi
       Galaksi adalah gabungan berbilion bintang. (Bintang ialah objek-objek          angkasa besar seperti matahari. Bumi dan bulan bukan bintang). Terdapat          tiga trilion bintang di dalam galaksi terbesar. Di dalam galaksi bersaiz          sederhana, terdapat kira-kira 200 ke 300 bilion bintang, sementara terdapat          sekitar 100 bilion bintang di dalam galaksi kecil.
       Sekarang berhenti dan fikirkan seketika: Apa ertinya jumlah satu bilion          kepada kamu? Contohnya, jika kamu meletakkan dua sifar selepas angka satu,          ia akan menjadi 100. Jika kamu menambahkan satu lagi sifar kepada angka          ini, ia akan menjadi 1,000. Tambah satu lagi sifar dan sekarang kamu mendapat          10,000 (sepuluh ribu). Bolehkah kamu mengira sehingga 10,000? Mungkin          kamu boleh melakukannya, tetapi ia mengambil masa yang panjang. Sedangkan          kita masih belum sampai ke angka satu bilion. Kemudian kita tambahkan          dua sifar kepada angka 10,000. Sekarang kita mendapat 1,000,000 (satu          juta). Kita masih tidak mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Tetapi          jika kamu menambah tiga lagi sifar pada angka 1,000,000, kamu akan mendapat          1,000,000,000 (satu bilion). Bolehkah kamu mengira sehingga 1,000,000,000?          Biar kita menjawab soalan ini; mengira satu bilion memakan masa selama          beberapa dekad, satu dekad ialah sepuluh tahun.
                            |  | 
       
       Sekarang kita hampir mencapai angka bintang-bintang di galaksi. Jika          kamu menambahkan dua lagi sifar selepas angka 1,000,000,000, ia menjadi          100,000,000,000 (seratus bilion). Ia adalah jumlah bintang-bintang di          dalam galaksi-galaksi kecil.
       Sekarang sudahkah kamu mendapat gambaran tentang cakerawala ini. Jika          kamu menghabiskan seluruh masa kamu mengira, kamu masih gagal mengira          semua bintang-bintang di angkasa. Allah, Pencipta alam ini, telah menjadikan          angkasa tidak terbatas yang tidak dapat kamu bayangkan, dan Dia mengawal          setiap titik cakerawala yang besar ini setiap masa. Allah mengetahui dan          melihat setiap hidupan di dalam cakerawala yang besar ini, dan segala          apa yang berlaku. Kuasa tidak terbatas Allah ini diceritakan di dalam          Al-Quran seperti berikut:
              … dan Ia mengetahui segala yang ada di langit dan yang          ada di Bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap- tiap sesuatu. (Surah Ali          'Imran:29)
              Sekarang mari kita kembali kepada topik kita dan cuba mempelajari lebih          banyak tentang galaksi.
       Di dalam galaksi-galaksi bersaiz sederhana atau besar, terdapat satu          pusat galaksi. Sekeliling pusat galaksi ini adalah tangan-tangan yang          berputar pada kelajuan yang besar. Tangan-tangan ini terdiri daripada          bintang-bintang, gas dan awan-awan debu.
       Dengan tangan-tangan dan pusatnya, galaksi-galaksi adalah objek angkasa          terbesar di angkasa. Kelompok-kelompok galaksi ini juga membentuk kelompok-kelompok          objek angkasa yang lain. Terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu          kelompok galaksi. Tambahan pula, kelompok-kelompok galaksi ini membentuk          kelompok-kelompok objek angkasa lain. Kelompok galaksi ini makin membesar          dan terus membesar.
              Sekarang mari kita senaraikan kembali apa yang telah kita perhatikan          setakat ini:
       - Galaksi adalah himpunan berbilion, malah bertrilion bintang-bintang.
-  Galaksi-galaksi yang besar dan sederhana mempunyai pusat galaksi.
-  Galaksi mempunyai tangan-tangan terdiri daripada bintang-bintang,            gas dan awan-awan debu. Tangan-tangan ini berputar keliling pusat galaksi            pada kelajuan yang tinggi.
-  Galaksi-galaksi berkumpul untuk membentuk kelompok galaksi. Kadangkala,            terdapat beratus-ratus galaksi di dalam satu kelompok galaksi. Kelompok-kelompok            galaksi ini juga berkumpul di dalam himpunan kelompok.
Simpan di dalam fikiran kamu, sebuah galaksi yang terkumpul daripada          100 bilion bintang-bintang adalah sebuah galaksi kecil, jangan lupa setiap          bintang adalah sekurang-kurangnya sebesar matahari. Tambahan pula, terdapat          planet-planet besar dan kecil seperti Bumi kita yang berputar mengelilingi          semua bintang-bintang ini.
       Sekarang, fikirkan perkara berikut: Bolehkah berbilion-bilion bintang          dapat berkumpul secara kebetulan di dalam keadaan yang tersusun? Bolehkah          bintang-bintang ini secara spontan mengadakan satu aturan yang membolehkan          mereka bergerak tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa yang lain          (contohnya Bumi kita dan planet-planet lain)?
       Sudah tentu mustahil. Ini bererti bahawa bintang-bintang yang berputar          dengan kelajuan yang tinggi tanpa berlanggar dengan objek-objek angkasa          yang lain sejak mula kewujudannya adalah satu petanda kewujudan Allah:          Pencipta, Perancang, Pengatur dan Pentadbir seluruh alam. Allah telah          menjadikan banyak laluan untuk planet-planet, bintang-bintang dan komet-komet          di angkasa. Semua objek-objek angkasa ini mengikut laluan mereka sendiri          tanpa berlanggar dengan yang lain.
       Sekarang kita sambung semula perjalanan kita dengan galaksi ini.
              Bimasakti
       Bimasakti adalah nama bagi galaksi di mana terletaknya Bumi kita. Galaksi          Bimasakti amat besar. Seperti galaksi-galaksi besar yang lain, Bimasakti          juga mempunyai pusat galaksi. Sudah tentu kamu masih ingat apa itu pusat          galaksi kerana kita baru sahaja membincangkannya di bahagian lepas. Bintang-bintang          di dalam pusat-pusat ini adalah bintang-bintang tua; mereka berwarna merah          atau kuning. Bintang-bintang pada tangan-tangan galaksi ini selalunya          adalah bintang-bintang biru yang muda dan panas. Gas dan awan-awan debu          terdapat di dalam tangan-tangan ini.
       Bimasakti berbentuk pusar; sebenarnya bentuk galaksi ini adalah seperti          "roda pin". Iaitu, ia mempunyai tangan-tangan pada pusatnya yang keluar          ke arah bahagian luar. Terdapat empat tangan. Atau dikenali sebagai "Tangan          Pemburu" (Hunter Arms). Kumpulan planet yang dikenali sebagai "Sistem          Suria" terletak pada tangan ini, dan Bumi kita adalah satu daripada planet-planet          di dalam kumpulan ini.
       Sistem Suria kita terletak sedikit agak jauh daripada pusat galaksi ini.          Matahari (dan sistem Suria kita) mengelilingi pusat galaksi ini, dan menyempurnakan          satu putaran setiap 220 juta tahun atau lebih.
                            |  Anak panah menunjukkan kedudukan Bumi                kita di dalam Bimasakti. | 
       
       Bimasakti ini telah mengekalkan bentuk dan pergerakannya selama berbilion-bilion          tahun. Walaupun bintang-bintang di dalamnya beredar dengan kelajuan yang          hebat, mereka memelihara laluan mereka sendiri.
       Bagaimana pun, mustahil bagi bintang-bintang ini untuk membentuk bentuk-bentuk          seperti ini dengan sendiri. Mustahil juga untuk mereka mencapai persepakatan;          untuk beratur dengan cara yang paling tepat dan bergerak dengan cara paling          tersusun. Tidak mungkin juga undang-undang yang mengatur bintang-bintang          ini membentuk dengan sendirinya. Fikirkan tentang batu-batu di taman kamu!          Bolehkah batu-batu ini membuat keputusan dan berkata, "Biar sebahagian          daripada kita membentuk bahagian pusat dan yang lain mengambil posisi          di bahagian tangan, dan kemudian berpusing di dalam taman secara berterusan"?          Apakah kamu akan percaya seorang yang menyatakan telah mendengar batu-batu          bercakap sesama mereka dengan cara ini? Sudah tentu tidak. Begitu juga,          jika menyatakan Bimasakti ini wujud secara kebetulan dan bintang-bintang          bergerak dengan sendirinya, ia amat lucu seperti contoh batu-batu di taman.          Jangan lupa, objek-objek angkasa ini bukan benda hidup, ia benda tidak          bernyawa seperti batu-batu di taman.
       Tidak ada kuasa lain selain daripada Allah yang berupaya menjadikan berbilion-bilion          bintang gergasi di dalam cakerawala yang teratur ini. Allah menjadikan          mereka dan undang-undang yang mengawal mereka. Mereka semua bersaksi dengan          kekuasaan dan pentadbiran Allah ke seluruh alam semesta ini. Kerana itu,          setiap cebis maklumat yang kita pelajari tentang alam ini mengingatkan          kita kepada kewujudan Allah dan penciptaannya. Dengan cara ini, Allah          juga menunjukkan kepada kita kebijaksanaan dan pengetahuan-Nya.
       Sekarang mari kita beralih kepada bintang.
              Bintang-bintang
       Bintang-bintang dan planet-planet terbentuk melalui pemampatan jirim-jirim          gas dan debu di angkasa yang dinamakan "nebula". Kerana itu, nebula, sumber          objek-objek angkasa ini, mempunyai peranan utama di cakerawala ini. Nebula          tidak mempunyai cahaya sendiri seperti bintang. Oleh itu, sukar untuk          melihatnya. Ia hanya dapat dilihat apabila gas dalamnya mengeluarkan cahaya          atau jika ia memantulkan cahaya daripada bintang-bintang. Kita juga dapat          melihatnya apabila ia dilintasi satu sumber cahaya.
       Bintang memberikan kepanasan, cahaya dan tenaga. Selain daripada bintang-bintang          kecil, terdapat juga bintang-bintang besar. Sebenarnya matahari bukan          bintang utama seperti yang kita sangka; terdapat banyak bintang-bintang          lebih besar daripadanya.
              Tahukah kamu bintang juga mempunyai jangka hayat? Bintang bukan benda          hidup, tetapi seperti juga benda hidup, mereka juga dilahirkan, hidup          dan mati.
       Seperti yang telah kami tunjukkan, bintang terbentuk di dalam nebula.          Sebuah bintang gergasi selalunya mati di dalam letupan besar, jirim-jirim          yang membentuknya akan berselerakan ke serata arah. Daripada pecahan-pecahan          ini, ia membentuk elemen-elemen yang menyebabkan kemusnahan bintang-bintang          dan planet-planet kecil yang berdekatan. Matahari dan planet-planet di          dalam Sistem Suria dan Bumi kita telah terbentuk berikutan letupan sebutir          bintang gergasi pada masa silam.
       Sekarang, mari kita melawat ke dalam Sistem Suria kita dan lihat bagaimana          bentuknya!
       Sistem Suria 
              Di dalam Sistem Suria kita, terdapat sembilan planet utama dengan 61          satelit dan sejumlah asteroid, semuanya mengelilingi sebutir bintang yang          dinamakan "matahari". Matahari terletak di tengah Sistem Suria.
       Sembilan planet-planet ini, yang menjadi sebahagian daripada Sistem Suria          kita, berputar sendiri sebagaimana ia beredar mengelilingi matahari dalam          bentuk yang tersusun. Mari kita sebutkan nama-nama planet ini: Utarid,          Zuharah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Seperti          yang kamu dapat lihat, Bumi kita berada di tempat ke tiga daripada matahari.
       Setiap planet di dalam Sistem Suria ini mempunyai ciri-ciri berbeza.          Suhu di sesetengah planet ini cukup panas untuk mencairkan timah. Sementara          yang lain pula, diseliputi salji. Sebahagian planet terdiri daripada gas-gas          keseluruhannya. Sesetengahnya pula terlalu kecil seperti bulan.
       Terdapat hubungan harmoni di antara satelit-satelit dengan primernya.          (Di dalam ilmu astronomi, satu primer bererti satu objek yang dikelilingi          oleh objek lain. Primer Bumi ialah matahari; primer bulan ialah Bumi)          Planet-planet menarik satelit-satelit mereka. Bagaimanapun, satelit-satelit          ini mengimbangi tarikan ini. Tanpa keseimbangan seperti ini, satelit akan          melekat pada planet atau terlepas ke angkasa.
       Contohnya jika bulan berputar perlahan, ia akan menjunam ke Bumi dengan          kepantasan yang tinggi. Ia akan memusnahkan Bumi. Jika ia berputar terlalu          laju, ia akan bergerak meninggalkan Bumi dan tidak akan menjadi satelit          kita lagi.
       Sekarang, mari kita perhatikan matahari, pusat Sistem Suria kita.
              Matahari
       Matahari adalah objek angkasa terbesar di dalam Sistem Suria ini. Ia          terdiri daripada gas-gas yang panas dan bercahaya. Setiap saat, berlaku          letupan di permukaannya, seolah-olah matahari itu sendiri adalah sebutir          bom nuklear gergasi. Letupan-letupan permukaan ini adalah sama dengan          tenaga yang dihasilkan oleh berjuta bom atom. Ia melontarkan api 40-50          kali ganda lebih besar daripada Bumi.
       Matahari kelihatan seperti bola api dan mengeluarkan kepanasan dan cahaya          daripada permukaannya. Jika matahari tidak wujud, kita akan sentiasa berada          pada waktu malam, dan seluruh dunia kita akan diliputi salji. Lebih penting,          tidak akan ada hidupan di Bumi ini.
              Angkasa (kamu masih ingat filem tentang angkasa) adalah satu tempat yang          sangat gelap, besar dan kosong. Bumi adalah sebuah objek angkasa di dalam          angkasa luas yang gelap ini, dan tiada objek angkasa lain yang cukup hampir          untuk menerangi dan memanaskan Bumi kita.
       Cahaya daripada matahari sangat terang. Kamu mungkin pernah mencuba melihat          tepat pada matahari pada hari cerah. Selepas melihat selama beberapa saat,          mata kamu menjadi silau, bukankah begitu? Kerana cahayanya terlalu terang,          melihat tepat pada matahari adalah sangat bahaya kepada mata kita. Begitu          juga, terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari pada musim panas juga          berbahaya. Kulit kamu mungkin akan terbakar, dan ia hanya dapat disembuhkan          dengan rawatan perubatan. Terutamanya pada musim panas, kepanasan yang          terpancar daripada matahari sangat tinggi. Bagaimanapun, matahari terletak          berjuta-juta kilometer daripada Bumi, dan hanya satu bahagian daripada          dua ribu kepanasan yang dipancarkannya mengenai Bumi.
                                   | Suhu permukaan matahari ialah 6,000°C, sementara                suhu dalamannya ialah 12,000,000°C. | 
       
       Jika suhu Bumi sudah cukup tinggi walaupun dengan jarak di antara Bumi          dan matahari, kamu boleh bayangkan betapa panasnya matahari? Ahli sains          mengeluarkan anggarannya. Bagaimanapun, kita tidak dapat mengetahuinya          dengan membandingkan dengan suhu yang sama di dunia. Di permukaan matahari          sahaja, suhunya ialah 6,000°C. di dalamnya, ia meningkat sehingga 12,000,000°C.          Tiada kepanasan di Bumi yang dapat kamu bandingkan dengan kepanasan ini!          Tangan kamu hanya dapat menyentuh air sekitar 50°C. Walaupun pada musim          panas, suhu hanya berada sekitar 40-50°C. Contoh ini membuktikan Allah          telah menetapkan jarak di antara Bumi dan matahari dengan tepat. Jika          matahari sedikit hampir kepada kita, semua yang berada di Bumi akan layu          dan kering oleh kepanasan dan bertukar menjadi abu. Bagaimanapun, jika          ia sedikit terlebih jauh, semuanya akan beku. Sudah tentu hidupan tidak          akan wujud di dalam kedua-dua keadaan ini.
                            |  | 
       
       Kawasan kutub, di mana kepanasan daripada matahari paling kurang diterima,          sentiasa diseliputi ais. Sebaliknya, di khatulistiwa, kawasan paling banyak          menerima cahaya matahari, sentiasa panas. Allah telah mewujudkan kawasan-kawasan          ini sebagai perumpamaan kepada kita. Kawasan-kawasan lain lebih sesuai          untuk manusia hidup. Ini menunjukkan rahmat Allah yang dilimpahkan kepada          kita. Ini kerana, jika Allah tidak menetapkan jarak di antara matahari          dan Bumi dengan tepat, sedah tentu kehidupan di Bumi ini lebih sukar kepada          kita. Mungkin juga tidak ada kehidupan langsung.
                            |  Jika matahari lebih hampir kepada Bumi,                planet kita akan menjadi terlalu panas. Semua keseimbangan halus                ini adalah di bawah kawalan Allah. | 
       
       Seperti yang telah kami jelaskan sebelum ini, Allah menjadikan matahari          dan bulan selaras untuk membolehkan manusia wujud di planet ini. Di dalam          al-Quran, Allah memberitahu kita bahawa matahari dan bulan bergerak dengan          arahan Allah:
       Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi          dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam          di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)          tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan.          Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda          kekuasaan-Nya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu          (untuk menerima balasan). (Surah Ar-Ra'd:2)
                     Tarikan Graviti Matahari
       Objek-objek angkasa yang banyak bergerak dalam keadaan teratur tanpa          berlanggar antara satu sama lain adalah kerana Allah telah meletakkan          mereka pada orbit yang tepat. Satu orbit ialah laluan sebuah planet atau          komet yang diikutinya ketika mengelilingi matahari. Tidak ada planet yang          berhenti mengikut orbitnya dan keluar ke angkasa lepas. Kerana planet-planet          berada di bawah tarikan graviti matahari. Ketika kamu membaca ayat ini,          Bumi sedang bergerak pada kelajuan setinggi 108,000 kilometer (70,000          batu) per jam di dalam orbitnya mengelilingi matahari. Perumpamaan berikut          mungkin dapat membantu kamu memahami kelajuan ini: kelajuan maksimum sebuah          kereta ialah 200 kilometer (125 batu) per jam. Ini bererti kelajuan Bumi          bergerak mengelilingi matahari adalah 540 kali lebih laju daripada kelajuan          kereta. Contoh lain pula: sebutir peluru bergerak pada kelajuan 1,800          kilometer (1,100 batu) per jam. Kelajuan Bumi bergerak mengelilingi matahari          adalah 60 kali lebih laju daripada kelajuan sebutir peluru.
                            |  Kelajuan Bumi kita mengelilingi matahari                ialah 540 kali lebih laju daripada sebuah kereta lumba. | 
       
       Disebabkan oleh kelajuan tinggi Bumi ini, tarikan graviti matahari amat          penting. Jika matahari berkurangan tenaga gravitinya, kita akan melayang          keluar ke angkasa lepas bersama dengan Bumi. Ia akan memusnahkan Bumi…
       Sebaliknya pula, jika matahari mula menggunakan tenaga graviti yang terlalu          kuat, Bumi kita akan tertarik kepada matahari dan menjadi cair. Dalam          keadaan in juga kita akan musnah. Selain itu, daya tarikan graviti matahari          juga memelihara planet-planet di dalam orbit mereka daripada berlanggar          antara satu sama lain. Bagaimana pun, tahukah kamu bagaimana matahari          menarik planet-planet ini?
                            |  Jika tarikan graviti Bumi kita kurang,                Bumi dan semua yang ada di atasnya, termasuk kita, akan terbang                ke angkasa. | 
       
       Jawapannya amat jelas. Pencipta kita Allah, Yang Maha Kuasa yang telah          menjadikan dan memelihara keseimbangan ini.
       Tambahan pula, bukan matahari sahaja yang mempunyai tarikan graviti.          Planet-planet di dalam Sistem Suria ini juga mempunyai kuasa tarikan graviti          mereka sendiri. Contohnya, tarikan graviti Bumi menarik bulan ke arahnya.          Kerana tarikan graviti ini, bulan berada pada satu jarak. Dengan cara          ini, Bumi tidak akan berlanggar dengan bulan. Tidak dapat diragukan lagi,          kuasa Allah yang tidak terbatas telah memelihara bulan daripada jatuh          ke Bumi.
       Terdapat tarikan graviti lain yang sama dengan matahari, yang direka          khas untuk membolehkan manusia hidup. Iaitu tarikan graviti Bumi yang          memberikan kita berat badan. Kuasa graviti ini, yang kita rasai sebagai          berat, menahan kita di atas Bumi dan membolehkan kita berjalan dan berlari          dengan mudah tanpa melayang ke angkasa.
                            |  
 Keseimbangan sempurna yang                dijadikan Allah, dan kawalan-Nya ke atas semua benda, membolehkan                kita berjalan dan berlari di atas planet ini tanpa sebarang kesukaran. | 
       
       Bayangkan kamu memegang sebiji bola. Apa terjadi apabila kamu membalikkan          tangan kamu? Bukankah bola akan terjatuh? Ini kerana graviti telah menariknya          ke tanah. Tetapi, jika kamu melepaskan bola ini ke angkasa lepas, bola          tersebut tidak akan jatuh kerana kurangnya kuasa graviti di situ. Oleh          itu, kewujudan kuasa graviti yang kuat di Bumi amat penting kepada kita.
       Terdapat satu lagi fakta penting tentang graviti: Kuasa graviti boleh          bertambah atau berkurang daripada kuasanya yang asal. Jika ia berkurangan,          kamu akan berjalan di udara dan tidak dapat menyentuh lantai dengan kaki          kamu. Kamu tidak dapat bergerak sesuka hati kamu; kamu akan melayang-layang          dari satu tempat ke satu tempat, melambung apabila kamu melangkah dan          melanggar siling. Begitu juga sekiranya tarikan graviti Bumi terlalu kuat,          kamu tidak dapat berjalan kerana kamu akan ditarik ke tanah. Kamu hanya          dapat merangkak di atas tanah.
       Tetapi, ini tidak berlaku kepada kita; Allah menjadikan kuasa graviti          yang tepat untuk kita.
       Mungkin kamu dapat memahaminya dengan lebih baik melalui contoh ini:          Bulan, seperti juga Bumi, mempunyai tarikan graviti. Bagaimanapun, tarikan          gravitinya lebih rendah daripada Bumi. Oleh itu, tidak mungkin kamu dapat          hidup di atas bulan. Di dalam TV, kamu mungkin pernah melihat angkasawan          berjalan di atas bulan. Bolehkah kita menghabiskan seluruh hidup kita          seperti itu? Sudah tentu tidak.
       Sekarang mari kita sambung semula perjalanan kita dengan melawat planet-planet          di dalam tarikan graviti matahari.
                                   Planet-planet
       Kami telah menjelaskan sebelum ini, planet ialah objek-objek angkasa          yang mengelilingi bintang-bintang. Di dalam bahagian ini, kita akan mengkaji          planet-planet di dalam Sistem Suria di mana Bumi kita berada. Jika kita          anggarkan Sistem Suria ini sebagai sebuah bulatan, matahari berada di          tengahnya.
       Pluto adalah planet yang berada paling jauh daripada pusatnya. Pluto          adalah planet paling kecil dan paling jauh daripada matahari. Pemerhatian          ke atas planet ini amat sukar, dan teleskop Hubble hanya dapat menunjukkan          beberapa maklumat dasar permukaannya. Planet ini sangat sejuk. Suhunya          adalah sekitar -238°C. Pada musim sejuk, ketika suhu Bumi jatuh di bawah          -2 atau -3°C, ia menjadi beku. -238°C adalah suhu yang 100 kali ganda          lebih sejuk daripada suhu yang Bumi dapat terima pada musim sejuk. Kesejukan          seperti ini boleh memusnahkan kita. Dari luar, Pluto kelihatan seperti          sebiji bola yang diseliputi ais.
              Menghampiri matahari, kita akan bertemu pula dengan Neptun. Planet ini          juga sejuk; suhu permukaannya adalah sekitar -218°C. Atmosferanya mengandungi          gas-gas yang beracun kepada manusia. Di samping itu, ribut-ribut menakutkan          mencapai 2,000 kilometer (1,250 batu) per jam berlaku di permukaannya.
       Bergerak sedikit ke arah matahari, di tengah-tengah bulatan, kita bertemu          dengan Uranus. Uranus adalah planet ketiga terbesar di dalam Sistem Suria.          Suhu atmosferanya ialah -214°C, bererti planet ini cukup sejuk untuk membekukan          kita semua dalam masa sesaat. Atmosferanya mengandungi gas-gas beracun          yang sama sekali tidak menyokong hidupan.
       Jika kita meneruskan perjalanan kita ke arah matahari, kita akan bertemu          pula dengan Zuhal. Planet ini, yang merupakan planet kedua terbesar di          dalam Sistem Suria, dikenali dengan sistem gegelang yang mengelilinginya.          Gegelang ini diperbuat daripada gas-gas, batu-batu dan ais. Suhu di planet          ini juga tidak sesuai untuk hidupan: -178°C.
       Apabila kita semakin merapati matahari, kita akan berjumpa dengan Musytari,          planet terbesar di dalam Sistem Suria. Musytari adalah 11 kali lebih besar          daripada Bumi. Keadaan di planet ini juga tidak sesuai untuk hidup, dan          ia terlalu sejuk.
       Selepas Musytari ialah Marikh. Marikh adalah sebuah planet mati yang          tidak sama dengan Bumi. Marikh tidak mempunyai sebarang hidupan. Ini berpunca          daripada beberapa sebab: Pertama, atmosfera Marikh adalah campuran beracun          mengandungi karbon dioksida pekat. Kedua, tiada air di planet ini. Ketiga,          suhu Marikh ialah -53°C. Akhir sekali, terdapat angin kuat dan ribut pasir          di Marikh yang berlaku selama berbulan-bulan.
              Planet biru yang muncul di hadapan kita selepas Marikh ialah Bumi kita.          Kami akan memberikan perhatian terhadap planet kita Bumi ini pada bab          terakhir nanti. Sementara itu, kami ingatkan kamu satu fakta: Bumi kita          adalah satu-satunya planet yang membenarkan organisma hidup.
       Terus mara ke arah matahari, pencarian kita membawa kita kepada sebuah          planet yang dinamakan Zuharah. Zuharah adalah objek angkasa paling terang          selepas matahari dan bulan. Oleh itu, manusia telah mengenalinya semenjak          berzaman dahulu. Walaupun semua planet sejauh Zuhal telah dikenali manusia          sejak dahulu, tetapi Zuharah kelihatan lebih terang dan jelas sama ada          di langit waktu pagi atau petang. Tidak seperti planet-planet lain, Zuharah          sangat panas. Suhu permukaannya ialah 450°C, yang cukup untuk meleburkan          timah. Ciri-ciri lain Zuharah ialah atmosfera beratnya yang terdiri daripada          satu lapisan karbon dioksida pekat. Di samping itu, atmosfera Zuharah          juga mengandungi lapisan asid beberapa kilometer dalam. Tidak ada organisma          yang dapat hidup di tempat seperti ini walau sesaat.
       Selepas Zuharah, kita sampai pula ke Utarid, planet paling hampir dengan          matahari. Putarannya menjadi perlahan oleh kedudukannya yang hampir dengan          matahari sehinggakan ia hanya melakukan tiga putaran apabila ia mengelilingi          matahari dua kali. Kerana itu satu bahagian planet ini sangat panas sementara          sebahagian yang lain pula terlalu sejuk. Perbezaan di antara bahagian          siang dan malam di Utarid ini ialah 1,000°C. Sudah tentu keadaan seperti          ini tidak menyokong hidupan.
       Pencarian kita setakat ini telah mendedahkan bahawa selain Bumi, tidak          satu pun planet-planet di dalam Sistem Suria ini memberikan apa yang diperlukan          untuk hidup. Semuanya tidak berpenghuni dan kosong. Bagaimanapun, dunia          kita adalah sebuah planet yang menghasilkan semua keperluan untuk hidup.          Dengan hutan hijau dan lautan birunya, ia kelihatan cantik dari angkasa.          Angkasawan pertama ke bulan terperanjat dengan warna-warni dan cahaya          bumi.
              Objek-objek Angkasa Lain
       Objek-objek angkasa lain di dalam Sistem Suria ini ialah komet, asteroid          dan meteor. Ia adalah objek-objek angkasa yang berbaki daripada letupan          nebula di mana Sistem Suria terbentuk empat ke enam bilion tahun dahulu.
                            |  Sebuah komet | 
       
       -  Komet terdiri daripada gas-gas pekat dan debu. Kadangkala, orbit-orbit            mereka membawa mereka menghampiri matahari. Apabila menghampiri matahari,            permukaan bintang-bintang mula mengewap disebabkan oleh kepanasan. Pengewapan            ini menghasilkan cahaya terang. Sebiji bola gas dan debu muncul di sekeliling            nukleus. Bola gas dan debu ini dikenali sebagai "coma". Terdapat juga            ekor gas dan debu yang mengikut coma ini.
- Meteor adalah objek-objek batu di angkasa. Selalunya, ia dapat dilihat            di antara orbit Marikh dan Musytari. Dalam beberapa keadaan, diameter            meteor ini boleh mencapai sebesar 1,000 kilometer (620 batu).
 
-  Meteorit (tahi bintang) adalah ketulan-ketulan yang jatuh ke Bumi            daripada angkasa. Ketulan-ketulan batu, atau campuran batu dan besi            yang terpisah daripada meteor dan komet. Kadangkala, apabila Bumi melalui            awan debu sisa daripada sebuah komet, sebagai contoh, objek-objek di            dalam awan debu ini terbakar di dalam atmosfera. Ia terbakar apabila            memasuki atmosfera Bumi dan meninggalkan sejalur cahaya nipis di langit.            Ia dikenali sebagai meteor. Kadangkala, jika ia tidak terbakar dengan            sempurna, meteor-meteor ini melanggar Bumi. Meteor-meteor yang sampai            ke Bumi ini dikenali sebagai aerolit atau meteorit. 
                    |  Meteorit adalah meteor-meteor yang sampai                ke permukaan Bumi | 
       
       Perhatikan satu fakta penting di sini: Meteor-meteor yang sampai ke atmosfera          selalunya jatuh ke Bumi. Apabila ia jatuh, kerosakan yang dilakukannya          adalah berdasarkan kepada saiz mereka. Bumi kita sentiasa terdedah kepada          ancaman ini, tetapi Allah telah menjadikan objek-objek angkasa ini sedemikian          rupa sehingga ia akan terbakar dan musnah di dalam atmosfera dan dengan          itu ia tidak membahayakan kita. Ini menunjukkan rahmat dan kasih Allah          kepada kita seperti juga dengan perlindungan yang diberikan-Nya kepada          kita.
       Mungkin sekarang kamu sudah menyedari bahawa Allah mengawal semua objek-objek          angkasa, sama ada besar atau kecil, dan mentadbir mereka semua setiap          masa di dalam keadaan yang teratur dan tersusun.
Readmore »»